Pengikut

Sabtu, 24 September 2011

Keajaiban berterusan Pulau Sipadan








Pulau Sipadan pernah menggemparkan negara ekoran kejadian penculikan 21 orang yang terdiri daripada pelancong dan juga pekerja resort oleh puak pemisah Abu Sayyaf pada 23 April 2000.
Namun kejadian itu tidak pernah melengangkan pulau yang menjurus naik dengan kedalaman kira-kira 600 meter dari dasar laut.
Menariknya, pulau itu terus menjadi tumpuan oleh penyelam skuba dari seluruh dunia sehinggakan ada yang terpaksa menempuh perjalanan selama 21 jam hanya untuk menyelam di situ.
Memang tepat ungkapan legenda selam skuba dunia berbangsa Perancis, Jacques Yves Cousteau ketika berada di pulau berkenaan sekitar tahun 1980-an yang mengatakan: "Saya pernah menyaksikan tempat lain sama seperti Sipadan, tapi itu 45 tahun lalu. Kini kita jumpa kembali satu kawasan selaman yang belum lagi terusik."
Ungkapan itu berjaya mempopularkan Pulau Sipadan hingga ke hari ini walaupun pihak berkuasa membuat keputusan untuk mengarahkan semua resort yang ada di pulau berkenaan ditutup berkuat kuasa 31 Disember 2004.
Hasil daripada itu, kerajaan negeri turut mengarahkan Taman-Taman Sabah (TTS) yang menguruskan pulau berkenaan bersama-sama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah untuk mengehadkan kemasukan pelancong ke pulau yang juga merupakan santuari utama penyu di Sabah.
Langkah itu menyaksikan hanya 120 penyelam skuba termasuk pelancong dibenarkan berada di pulau itu dalam masa sehari bagi meneruskan lestari pulau yang berada di perairan Celebes itu.
"Langkah kerajaan itu merupakan keputusan tepat dalam memulihara Pulau Sipadan dan ia akan diperkukuhkan lagi melalui penyediaan satu pelan pengurusan yang mantap," kata Pengarah TTS, Paul Basintal selepas Majlis Penutupan Ekspedisi Saintifik Marin Taman Pulau Sipadan di Pulau Mabul, baru-baru ini.
Menurut Paul, dengan ketiadaan resort dan juga had kemasukan pelancong ke pulau tersebut, hasil kajian saintifik ekspedisi itu menunjukkan satu perubahan positif terhadap kesan biologi dan fizikalnya.
"Antara kesan positif yang diperoleh penyelidik ketika ekspedisi itu adalah pertambahan ikan terumbu karang dan tiadanya gangguan terumbu karang yang dapat menjaga kepentingan sekitar perairan pulau itu sebagai kawasan pemakanan penyu," katanya.
Tinjuan Utusan Malaysia ke Pulau Sipadan baru-baru ini turut menyaksikan beberapa spesies marin mega yang menjadi ikon pulau itu kembali berlegar-legar di beberapa lokasi selaman terkemukanya.





Antara spesies berkenaan ialah ratusan alu-alu (Sphyraena barracuda) yang sering berlegar-legar dalam kumpulan di lokasi Barracuda Point sementera bayan gergasi (Bolbometopon muricatum) dan cupak (Caranx sexfasciatus) terus berada di South Point.
Selain semua spesies tadi, pelbagai jenis ikan yu dan juga penyu turut setia menyerikan Pulau Sipadan selain keadaan terumbu karang keras dan lembut masih utuh walaupun terjadi insiden tongkang melanggar batu karang di Barracuda Point pada tahun 2006 sehingga merosakkan kawasan seluas 372 meter persegi.
Sementara di atas pulau itu pula, TTS sudah membina kawasan rehat setempat untuk pengunjung selain membersihkan saki baki runtuhan peninggalan resort lama yang dilihat berjaya mengindahkan pulau itu.
Malah, pembinaan tandas moden yang memusatkan sistem kumbahan dilihat mampu mengurangkan impak alam sekitar di pulau yang turut menjadi santuari serta persinggahan burung migrasi.
Mengulas mengenai pelan pengurusan pulau itu, Paul berkata, pelan itu kelak akan memfokuskan pengurusan mesra alam dalam memastikan pemuliharaan secara berterusan hidupan marin, flora dan fauna di pulau itu.
Kata Paul, langkah merangka pelan pengurusan itu selaras dengan pewartaan pulau Sipadan sebagai taman pada Oktober 2009 di bawah Enakmen Taman-Taman 1994.
"Pelan pengurusan itu kelak bakal menjadi panduan untuk mengurus kawasan taman ini secara lebih sistematik dalam memulihara khazanah yang terdapat di pulau itu secara berterusan," katanya dengan menambah data saintifik berbentuk biologi dan fizikal yang diperoleh sepanjang ekspedisi itu akan dijadikan garis panduan dalam menyediakan pelan pengurusan tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

mesej